Kekok berbahasa Inggeris, Idan Aedan jadi bintang pertama Malaysia ke siri Netflix
Pelakon remaja, Idan Aedan melakar sejarah dalam profil kerjaya seninya apabila menjadi aktor pertama Malaysia membintangi siri Netflix antarabangsa berjudul Mr. Midnight: Beware The Monster.
Memetik laporan Astro Gempak, pelakon berusia 18 tahun itu mengakui dia berasa kekok ketika menjalani penggambaran siri tersebut terutama bertutur dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, pemilik nama Muhammad Shahidan Abdullah meluahkan kesyukuran dan berterima kasih kepada pihak produksi kerana sudi memberikan dia peluang untuk terlibat sama dalam siri berkenaan dan mendukung watak utama sebagai Tyar.
Difahamkan, drama bersiri Mr. Midnight: Beware The Monster menjalani penggambaran di Batam, Indonesia dan Singapura pada pertengahan tahun 2021.
“Saya bersyukur diberikan peluang sebesar ini. Dalam masa yang sama, saya boleh cakap saya tak pernah terbayang untuk sampai ke tahap ini. Umur saya baru 17 tahun pada ketika itu,”ujarnya.
Dalam keterujaannya membintangi siri bertaraf antarabangsa itu, Idan memberitahu dia kekok berbahasa Inggeris.
“Sebelum shooting, saya back to back shooting filem Melayu. Tiba-tiba sampai ke set lokasi Mr. Midnight, semua bercakap bahasa Inggeris. Agak terkejut, tapi selepas itu saya dah okey,”katanya.
Idan berkata, dia tidak pernah mengambil kelas bahasa Inggeris, namun dia berkebolehan untuk bertutur dalam bahasa tersebut memandangkan ibunya sering menggalakkannya menonton program televisyen berbahasa Inggeris sejak kecil lagi.
Sumber: Gempak