Keputusan IVF gagal, pasangan YouTuber tetap bersyukur “kami yakin & percaya rancangan Allah”
Meskipun keputusan Persenyawaan In Vitro (IVF) tidak berjaya, pasangan YouTuber, Fila dan Adama meluahkan rasa syukur dan reda dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Allah yang belum mengizinkan untuk hamil anak sulung selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pasangan itu di laman TikTok, mereka berkongsi perjalanan ketika proses melakukan IVF tersebut di sebuah hospital.
@filacamara Alhamdulillah, apa pun kami suami isteri percaya dan yakin dengan perancangan Allah ❤️ Doakan kami 💕
♬ Only Love Can Hurt Like This (Slowed Down Version) – Paloma Faith
Difahamkan, pada 14 Oktober lalu, proses pindah embrio telah dilakukan dan dari situlah bermulanya perjalanan pasangan itu dalam menantikan keputusan IVF tersebut.
Pada awalnya, Human Chorionic Gonadotropin (HCG) menunjukkan bacaan yang tinggi dan berkemungkinan besar Fila atau nama sebenarnya, Nur Afilah Amir Rusdi hamil.
Namun begitu, ketika memeriksa semula bacaan HCG tersebut, secara tiba-tiba ia turun mendadak dan malangnya, keputusan IVF Fila tidak berjaya.
“Alhamdulillah, apa pun kami suami isteri percaya dan yakin dengan perancangan Allah. Doakan kami,” ujarnya ringkas di ruangan kapsyen.
Teruskan semangat pejuang dua garis!
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan kata-kata semangat buat pasangan itu supaya terus diberikan kekuatan serta dipermudahkan urusan untuk mendapatkan cahaya mata pertama dalam keluarga mereka.
Ramai orang mendoakan yang terbaik
Bukan itu sahaja, netizen turut mendoakan agar Fila dan Adama terus diberikan kesabaran dan mendoakan pasangan itu dikurniakan malaikat kecil kelak.
Sumber: TikTok @filacamara