Hangat diperkatakan mengenai status rumah tangganya sebelum ini, pelakon Sharifah Sakinah mengesahkan bakal berpisah dengan suaminya, Michael Hensen.
Memetik mStar Online, Sakinah berkata sepanjang tiga tahun bersama hubungan mereka sering berdepan masalah dan hubungan jarak jauh memenatkan baginya apatah lagi perlu berulang alik.
“Ya, kami akan bercerai dan akan menjalani kehidupan masing-masing selepas ini. Saya tidak mahu lagi menjalani hubungan jarak jauh kerana ia memenatkan. Tenaga saya sudah habis. Saya mahu gembira dan memberi fokus kepada kehidupan.
“Michael tidak boleh menetap di Malaysia kerana mempunyai komitmen kerja dan keluarga yang masih di bawah tanggungannya,” katanya kepada laporan Kosmo.
Mengulas mengenai postingnya itu, Sakinah berkata dia tidak mahu timbul salah faham jika dia dilihat bersama lelaki lain selepas ini.
Malah, dia terbuka untuk meminta Michael Michael meneruskan kehidupan termasuk jika bertemu pengganti dirinya.
“Saya ada bercakap dengan Michael, jika dia ada berjumpa dengan wanita lain, teruskan,” katanya.
Terdahulu, Sharifah Sakinah dan Michael Hansen mengakui sudah berumah tangga sekitar Februari lalu. Sakinah berkata dia terpaksa merahsiakan mengenai perkahwinannya itu atas beberapa faktor peribadi.