Remaja lelaki ditemui tergantung di dapur
Seorang remaja lelaki ditemukan mati tergantung di ruang dapur rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Kuala Kedah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan penemuan mayat lelaki berkenaan dari seorang lelaki petang semalam.
Beliau berkata, lelaki berusia 19 tahun itu ditemui oleh abangnya yang baru pulang dari laut sekitar jam 4 petang.
“Hasil temu bual dengan abang si mati, dia memaklumkan ternampak adiknya dalam keadaan tergantung di ruang dapur rumah mereka.
“Si mati adalah anak bongsu dari empat beradik dan bekerja sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Shukri berkata, siasatan awal percayai remaja itu meninggal dunia sekitar jam 12 tengah hari hingga 4 petang.
“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.