AC Mizal artis pertama buka stesen TV sendiri, pernah diperlekeh & ditertawa mujur..
Bagaikan mimpi, pengacara dan pelakon terkenal, AC Mizal atau nama sebenarnya Datuk Mizal Zaini berjaya membuka sebuah stesen televisyen dengan rangkaian media dan hiburan terbaharu di bawah jenama SUKE TV buat penonton di negara ini.
Bagaimanapun, disebalik kejayaannya itu, AC mendedahkan dia perlu menghadapi pelbagai dugaan termasuklah diperlekehkan dan disindir oleh pelbagai pihak dan juga rakan-rakan selebriti.
“Memang keadaan itu berlaku. Marah itu ada, tapi itu menjadikan saya lebih bersemangat sebenarnya. Sebelum saya mula SUKE TV ini, ketika itu, ia merupakan percubaan kali terakhir saya. Saya dah nak pulangkan lesen dah.
“Lesen itu sudah ada sebelum saya mula lagi dan kena bayar setiap tahun kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Terus-terang, ketika itu, saya dah tahap berserah betul-betul kepada Tuhan. Ingat lagi, Jun tahun lepas, saya dah betul-betul putus asa.
“Bila tak beroperasi, MCMC akan tarik balik lesen. Tetapi ternyata Allah itu Maha Mendengar akan rintihan-rintihan hamba-Nya, patut pulangkan lesen pada Jun, tetapi Allah gerakkan misi dan visi saya ini bermula April lalu,” katanya.
Namun begitu, dengan semangat yang ada serta sokongan daripada keluarga terutamnya isteri, AC yang terpaksa alami perasaan malu dan sakit hati dengan orang sekelilingnya telah berjaya membuktikan kepada orang ramai melalui kejayaannya.
Bukan itu sahaja, pelakon yang berusia 51 tahun itu sentiasa berfikiran positif demi membantu orang ramai untuk membuka peluang pekerjaan melalui penubuhan stesen televisyennya itu.
“Kami berdua ini nasib baiknya memang selalu berfikiran positif. Kita tetap nak buat.Nampaknya Tuhan tetap nak bagi rezeki menerusi SUKE TV ini sebab banyak dah bisnes lain yang dijalankan sebelum ini,Allah tetap bukakan jalan yang ini.
“Memang kami tawakal saja pada Allah dan akhirnya di hujung-hujung perasaan dah nak putus asa itu, Dia realisasikan hasrat kami ini. Saya pun pasang niat nak bantu orang, nak beri peluang pekerjaan kepada ramai orang.
“Mungkin kerana itulah, Dia kurniakan peluang ini kepada saya dan isteri. Bayangkan, kamilah artis pertama yang membuka stesen televisyen dalam negara ini, siapa sangka?”ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia (Siti Athirah Dzulkifly)