Tersenarai amran Bank Negara Malaysia, duta OctaFX Wak Doyok & Fizo terus membisu
Beberapa minggu lepas, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan senarai amaran apabila mendedahkan platform pelaburan OctaFX itu termasuk dalam skim pelaburan haram klon.
Sebelum BNM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) turut memasukkan OctaFX itu dalam senarai Amaran Pelabur atas alasan berkemungkinan ia adalah skim pelaburan haram yang menawarkan pulangan tinggi.
Susulan itu, pelbagai pihak cuba mendapatkan kenyataan rasmi daripada kedua selebriti yang dilantik menjadi duta broker global OctaFX iaitu Fizo Omar dan Wak Doyok.
Bagaimanapun, sehingga kini kedua-dua selebriti tersebut masih gagal membalas mesej dan panggilan telefon daripada pihak media termasuk Harian Metro.
Keputusan membisukan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan membuatkan ramai tertanya-tanya mengenai tindakan dan pandangan mereka berdua mengenai isu terbabit.
Menerusi hasil tinjaun di laman Instagram Wak Doyok, paparan profil profil pelakon filem Abang Long Fadil 3 itu masih menyatakan dirinya sebagai duta OctaFX.
Malah, di laman Youtube rasmi OctaFX juga jelas kelihatan Fizo Omar sedang giat mempromosikan OctaFX.
Wak Doyok dan Fizo Omar dilantik menjadi duta broker global OctaFX pada Februari lalu dan menerima pelbagai kritikan hebat warganet dengan mengatakan mereka telah mempromosikan sesuatu yang haram di sisi agama.
Bahkan, menyatakan kedua-dua personaliti ini sanggup melupakan perihal batasan dan tuntutan agama demi mengejar harta benda.
Sekadar info, OctaFX adalah broker antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan dagangan dalam talian yang beroperasi di seluruh dunia sejak tahun 2011.
Difahamkan juga broker tersebut dikawal selia dan memegang lesen di luar negara. Namun, menyediakan sokongan deposit dan pengeluaran ke akaun bank di Malaysia.
Sumber: Harian Metro (Sudirman Mohd Tahir) , Instagram @wakdoyok , Youtube OctaFX Forex Broker