Surat rahsia Ratu Elizabeth II dibenarkan buka pada 2085
Surat rahsia yang ditulis mendiang Ratu Elizabeth II kini disimpan rapi di dalam sebuah peti besi di Bangunan Queen Victoria, Australia.
Surat yang ditulis pada November, 36 tahun lalu hanya akan dibenar untuk dibuka dan dibaca pada 2085.
Isi kandungan surat yang ditujukan Elizabeth kepada penduduk Sydney, hanya akan diketahui 63 tahun lagi.
7NEWS Australia melaporkan, tiada sesiapa termasuk kakitangan mendiang ratu mengetahui isi kandungan surat berkenaan.
Surat itu juga disimpan di satu ruang tersembunyi yang menjadi kawasan larangan untuk sesiapa saja.
Surat rahsia itu ditulis ratu bagi meraikan pemulihan bangunan bersejarah itu yang dibina pada 1898 bagi meraikan Jubli Permata moyang kepada Elizabeth, Ratu Victoria.
Ratu menunjukkan surat itu kepada Datuk Bandar Sydney dengan nota peringatan mengenai tarikh kandungan surat itu boleh didedahkan.
“Hari yang difikirkan sesuai pada 2085, kami boleh membuka sampul surat ini dan sampaikan mesej saya kepada warga Sydney,” tulis mendiang ratu.
Surat itu kemudiannya ditandatangani ratu dengan tanda, ‘Elizabeth R’.
Sebagai Ketua Negara, Ratu Elizabeth II sudah melawat Australia sebanyak 16 kali sepanjang pemerintahannya.
“Sejak lawatan pertamanya ke Australia membuktikan negara ini mempunyai tempat yang istimewa di hatinya,” kata Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dalam satu kenyataan pada Jumaat.