Bilik tidur terbakar, dua beradik ditemukan rentung
Dua beradik rentung apabila bilik tidur rumah mereka dekat Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri di sini, terbakar dalam kejadian petang tadi.
Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3 dan Nurul Hawa Zafira, 2, ditemui rentung selepas bomba berjaya memadamkan kebakaran kira-kira jam 2.20 petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Mohd Ridzuan Malek Rivan berkata, tujuh anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.41 petang.
“Seramai 14 anggota dari BBP Larkin turut memberikan bantuan.
“Kebakaran membabitkan kemusnahan kira-kira 60 peratus sebuah rumah jenis kekal dan mangsa ditemui rentung di ruangan bilik tidur,” katanya.
Beliau berkata, kerja pemadaman awal dilakukan oleh orang awam menggunakan air paip sebelum pihak bomba berjaya mengawal operasi pada jam 2.20 petang.
Difahamkan, jenazah kedua-dua mangsa kini dibawa pihak polis ke Hospital Sultan Ismail untuk tindakan selanjutnya.