“Lebih baik bunuh saya..” Rosmah kecewa sumbangan First Lady Malaysia tidak membantu
Semalam, Datin Seri Rosmah Mansor disabit bersalah atas tiga tuduhan rasuan membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Tidak cukup di situ, Rosmah diperintahkan Mahkamah Tinggi dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.
Hanya bercakap benar di mahkamah
Sedih dengan kenyataan dalam perbicaaan kes rasuahnya dari kandang Mahkamah Tinggi, Rosmah meluahkan kekecewaannya dengan apa yang berlaku.
“Bagi saya, mahkamah adalah di mana terdapat keadilan. Saya sentiasa beritahu peguam untuk bercakap benar, itu cara saya dibesarkan. Saya tidak mahu lebih dan saya hormati keputusan.
“Saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan cara baik. Saya prnah menjadi First Lady of Malaysia,”ujarnya.
Rosmah tak pernah terfikir untuk bazir wang
Dalam pada itu, Rosmah berkata beliau tidak mahu menyebut mengenai sumbangannya selama ini, namun menegaskan banyak memulakan program untuk kanak-kanak di negara ini.
Malah, beliau meluahkan rasa bangga atas sumbangannya daripada pelbagai cara bagi memajukan kanak-kanak di negara ini.
“Saya tak pernah terfikir untuk membazir wang. Saya bertanggungjawab ke atas BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan kami mempunyai RM45 juta, tidak pernah saya sentuh satu sen pun,”jelasnya.
Selain itu, Rosmah memberitahu dirinya tidak pernah mengenali sesiapa dalam Jepak Holdings, syarikat yang dianugerahkan kontrak seperti dakwaan ramai. Dan, beliau sendiri tidak pernah terfikir mahu menipu mana-mana persatuan dibawah kepimpinannya selama ini.
“Tiada siapa nampak saya ambil wang tetapi kalau begitu kesimpulannya, saya serahkan kepada Allah.
“Saya tak tahu pun jumlah kos projek itu sebanyak itu. Saya hanya bercakap benar dan tak lain hanya kebenaran.”katanya lagi.
Mengulas lanjut, Rosmah mendedahkan beliau terkejut setelah mendapati dirinya didakwa di mahkamah memandangkan tidak pernah mempengaruhi suami (Najib Razak). Jelas Rosmah, setiap kali beliau membuka mulut mengenai sesuatu isu pasti Najib akan memintanya untuk tidak masuk campur.
Peguam bela rayu anak guam dikenakan hukuman ringan
Sementara itu, peguam bela Rosmah iaitu Datuk Jagjit Singh mengemukakan rayuan supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dimana meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda minimum kepada Rosmah berikutan beliau banyak berbakti kepada negara.
“Rosmah mempunyai perwatakan yang tidak tercela dan berbakti kepada negara sebagai isteri kepada Perdana Menteri terutama dalam membantu anak-anak kecil yang tidak diberi pendidikan.
“Selain itu, program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) dibangunkan Rosmah bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh isteri mana-mana Perdana Menteri di negara ini.
“Rosmah juga mempunyai masalah kesihatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah dan orang lain yang terbabit dengan projek itu semuanya bebas sementara hanya beliau didakwa di mahkamah,” katanya.
Pun begitu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menggesa pihak mahkamah mengambil kira tahap serius kesalahan berkenaan iaitu hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan diterima.
Jelas Gopal, dendan hukuman maksimum atau hampir maksimum perlu diberikan kerana korupso adalah kesalahan serius.
Lebih baik bunuh saya- Rosmah
Sebaik sahaja mendengar kenyataan tersebut, Rosmah mengatakan “lebih baik bunuh saya”.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sehingga Rosmah mengemukakan rayuan. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.
Sumber: Harian Metro (Faris Fuad)