Ditemukan tertiarap dibumbung parking, remaja 13 tahun maut jatuh tingkat 11 kondominium
Seorang remaja perempuan ditemukan maut dipercayai terjatuh dari kediamannya di tingkat 11 sebuah kondominium di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas awal pagi tadi.
Menurut laporan BH Online, mangsa yang berusia 13 tahun ditemukan tertiarap di bahagian bumbung parkir di kondominium tersebut.
Difahamkan, kejadian terbabit dikatakan disedari oleh ibu mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum menghubungi pihak polis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin, berkata pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Ketika tiba di lokasi, mangsa ditemukan terbaring di bumbung berkenaan selepas terjatuh dari tingkat 11 kediamannya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya hari ini.
Mohd Hafiz berkata, mayat mangsa kemudian diserah kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk siasatan lanjut.
Sumber: BH Online (Zuhainy Zulkiffli) , Facebook Mamu Jarum