Tewaskan Indonesia di final, Aaron Chia & Soh Wooi Yik bergelar juara dunia
Pasukan badminton beregu lelaki negara, Aaron Chia & Soh Wooi Yik muncul juara dunia selepas menumpaskan Indonesia dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF hari ini.
Pasangan tersebut muncul juara selepas menewaskan beregu dari Indonesia, Mohammad Ahsan & Hendra Setiawan dengan mata 21-19 dan 21-14 sebentar tadi.
Dalam set pertama, beregu dari Indonesia, Mohammad Ahsan & Hendra Setiawan tampak memberikan saingan sengit dengan pertukaran mata demi mata dengan wakil beregu negara.
Bagaimanapun, pasangan dari Malaysia Aaron Chia, & Soh Woon Yik tampil memberi aksi yang lebih bertenaga untuk menyelesaikan set pertama dengan skor 21-19.
Berlangsung set kedua, beregu negara langsung tidak memberi muka kepada beregu dari negara jiran itu dengan menang mudah 21-14.
Kemenangan dua set berturut-turut itu sekaligus mengesahkan kejuaraan milik beregu lelaki negara.
Sebelum itu, Aaron Chia & Soh Wooi Yik berjaya melangkah ke pusingan akhir selepas berjaya menundukkan lawan dari India, Satwiksairaj Rankireddy & Chirag Shetty dalam pertarungan tiga set.
Memetik kembali laporan sebelum ini, pasangan Malaysia tersebut merupakan pilihan keenam kejohanan manakala beregu India pula merupakan pilihan ketujuh.
Pasangan negara terlebih dahulu ketinggalan apabila menamatkan set pertama dengan pungutan mata yang sangat sengit iaitu 20-22.
Bagaimanapun, wakil negara itu berjaya memperkemaskan permainan dan mengurangkan kesilapan apabila berjaya memenangi set kedua, 21-18, sekaligus memaksa perlawanan dilanjutkan hingga ke set penentuan.
Sumber: BAM