Remaja 14 tahun larikan bayi, polis berjaya tahan van putih menuju ke Siam

Remaja 14 tahun larikan bayi, polis berjaya tahan van putih menuju ke Siam

Siapa yang tidak sedih dan panik apabila bayi yang dihantar ke rumah pengasuh di larikan oleh penculik.

Hal ini dialami sendiri oleh seorang wanita dikenali sebagai Farisha Amira Zainal apabila memaklumkan bayi berusia 9 bulan dilarikan sekumpulan penjenayah pada 5.30 petang semalam.

Anak dilarikan sekumpulan penjenayah

Menerusi laporan dari Malaysia Gazette, kejadian berkenaan terjadi di Taman Pauh Perai sewaktu Farisha dalam perjalanan pulang kerja dan ingin mengambil bayinya di rumah pengasuh.

“Jantung macam nak luruh bila diberitahu anak saya dilarikan sekumpulan individu tapi kini saya bersyukur kerana bukan sahaja dia selamat malah polis turut berjaya mengesan suspek yang terlibat.” katanya.

Luruh jantung diberitahu pengasuh anak

Jelas wanita itu lagi, dia terkejut dan kaku apabila pengasuh memaklumkan yang bayinya diculik cucu warga emas itu sendiri dan melarikannya bersama sekumpulan penjenayah.

“Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) memaklumkan perkara sedemikian. Susulan itu, saya menelefon keluarga termasuk yang di kampung bagi memaklumkan kejadian sebelum suami saya pergi membuat laporan polis.
“Sampai pukul 9 malam kami (saya dan suami) masih berurusan dengan pihak polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat.
“Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan. Susulan itu, saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami,” katanya.

Anak ditemui selepas 10 minit dihubungi polis

Tak lama selepas itu, dia menerima panggilan daripada pihak polis mengesan keberadaan suspek dan anaknya walaupun bayi berkenaan belum ditemui.

Sekitar 10 minit selepas dimaklumkan, bayinya ditemukan dalam keadaan selamat dan di bawa ke Hospital Bukit Mertajam.

“Syukur sangat selepas 10 minit kami dapat panggilan mengatakan anak saya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan.
“Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalunya dengar cerita sahaja anak diculik tapi tak sangka kami sendiri lalui kejadian ngeri itu.” ujarnya.

Mungkin anak nak dijual ke Thailand

Menurut Farisha lagi, mungkin anaknya akan dijual ke sendikit di Thailand jika polis lambat mengesan memandangkan bayi tersebut ditemui di dalam van ketika dalam perjalanan ke sempadan negara jiran.

“Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran melalui negeri di Pantai Timur,” jelasnya yang berasal dari Changlun, Kedah.

 

Nekad berhenti kerja jaga anak

Disebabkan itu, dia trauma untuk menghantar anaknya ke rumah pengasuh lagi dan bertekad berhenti kerja kerana mahu menjaga anak sepenuh masa disebabkan bimbang kejadian tidak diingini terulang semula.

Dia juga berharap agar suspek dikenakan hukuman setimpal supaya kejadian seperti itu tidak terjadi lagi.

“Saya sudah serik nak bagi orang lain jaga anak dan kami sekeluarga harap mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar kejadian yang sama tidak berulang kepada ibu bapa lain,” katanya.

Salah seorang suspek berusia 14 tahun

Terdahulu, lima individu termasuk seorang remaja bawah umur yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan bayi berkenaan direman di Mahkamah Bukit Mertajam.

Mereka yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik.

Sumber: Malaysia Gazette (Malinda Abdul Malik), Instagram schaaazainal_