Najib tinggal nota terakhir buat keluarga sebelum jadi penghuni penjara “Keluargaku..”

Najib tinggal nota terakhir buat keluarga sebelum jadi penghuni penjara “Keluargaku..”

 

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan sebuah nota buat keluarga tersayang sebelum beliau menjadi salah seorang penghuni penjara selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bermula semalam.

Menerusi mesej yang ditinggalkan oleh Najib untuk ahli keluarganya, beliau mengakui tidak pernah berasa kesal atau kecewa dengan keputusannya untuk meneruskan legasi bapanya, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, dalam menjadi pemimpin yang terbaik untuk rakyat.

Namun, apa yang memilukan hatinya adalah dalam kesibukkan berkhidmat untuk rakyat, beliau terlepas pandang akan masa yang terluang bersama keluarga tersayang.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan cabaran yang dialaminya selama menjadi pemimpin adalah asam garam dalam dunia politik dan ia merupakan pengorbanan terbesarnya dalam menguruskan sesebuah negara.

“Cabaran-cabaran ini dengan hasilnya yang baik membawa senyuman kepada ayah . Adakalanya hasil yang diharapkan tidak sebaik yang diinginkan. Tetapi cuba lagi dan lagi.

“Melihat kembali, ia satu pengorbanan besar. Tahun-tahun dan masa-masa yang ada datang dan berlalu begitu sahaja. Dari subuh ke larut malam, ada saja urusan yang perlukan perhatian.

“Masa makan pun bermesyuarat, berjumpa tetamu, tidak bersama awak semua. Tahun-tahun ayah berlalu hanya berdedikasi untuk rakyat, berkhidmat untuk orang awam serta politik,” coretnya.

Dalam pada itu, Najib yang seolah sudah redha dengan takdir yang menimpa dirinya, beliau berharap agar ahli keluarganya sentiasa dalam perlindungan yang Maha Esa sepanjang ketiadaannya di sisi mereka.

Malah, beliau akan menanti keadilan dan penghakiman yang sebenarnya di mahkamah akhirat dan mahu bahagia bersama keluarga di alam tersebut kelak.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sumber: Facebook @Najib Razak