Bakal berkahwin 16 September, Mas Idayu terima tajaan RM7 Juta
Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu mengumumkan majlis pernikahannya bersama Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa akan berlangsung pada 16 September depan.
Menurut laporan BH Online, penyanyi berusia 50 tahun itu bersyukur mendapat tajaan mencecah RM7 juta yang merangkumi barang kemas, lokasi dan busana perkahwinan.
“Boleh dikatakan, perkahwinan kali ini lebih memberi bahagia berbanding pertama. Saya dapat merasai sesuatu yang tidak pernah dirasai sejak 15 tahun lalu.
“Dahulu, pra perkahwinan pun tiada, apatah lagi, majlis persandingan. Sekarang, saya rasa seolah-olah berkahwin buat kali pertama,” katanya.
Difahamkan, penyanyi lagu Selangit itu memilih konsep majlis resepsi bertemakan dongeng dan fantasi selain bakal mencipta rekod Malaysia Book of Records.
Ditanya mengenai tarikh pernikahan yang jatuh pada Hari Malaysia, Mas Idayu mengakui tiada simbolik tertentu pada hari istimewa itu nanti.
“Tarikh nikah bukan saya pilih, tetapi bakal suami. Pada mulanya Sufian cakap nak kahwin Mei lalu. Namun, masa itu, jarak masa terlalu dekat dan terburu-buru.
“Akhirnya, Sufian pilih 16 September. Saya jenis tak ingat tarikh istimewa, jadi mungkin lebih mudah ingat apabila tarikh pernikahan jatuh pada Hari Malaysia.
“Namun, tiada simbolik tertentu. Insya-Allah, acara akad akan berlangsung, jam 9 pagi dan diikuti majlis resepsi pada sebelah malam,” ujarnya.
Namun begitu, dia lebih memikirkan soal kehidupan dan tanggungjawab selepas berkahwin setelah 16 tahun bergelar ibu tunggal.
“Selepas sekian lama tiada teman hidup dan tak percaya ikatan perkahwinan, akhirnya Allah buka hati saya.
“Saya pun tak sangka soal perkahwinan jadi tular apabila Sufian memuatkan hantaran kami berbuka puasa dalam IG. Saya ini bukanlah siapa-siapa,” kongsinya.
Untuk rekod, pemilik nama Masidayu Mesnun itu pernah berkahwin dengan pelakon Aman Graseka pada 1997, namun berpisah pada 2006.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Dayini Ashiqah yang kini berusia 25 tahun.
Sumber: BH Online (Zaidi Mohamad)