11 tahun menanti zuriat, isteri kongsi perjalanan rawatan IVF sebagai hadiah hari jadi Achey
Sempena ulang tahun kelahiran yang ke-36 tahun, pelawak Achey Bocey menerima hadiah istimewa daripada isterinya Nor Hasanah Yahaya dalam usaha mendapatkan zuriat kandung.
Hadiah tersebut adalah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang dilakukan di sebuah hospital pakar Masai, Johor Bahru pada 6 Ogos lalu.
Menerusi satu video di laman Instagram, Nor Hasanah atau mesra dipanggil Anne berkongsi perjalanan ketika menjalani rawatan itu selain menitipkan ucapan hari lahir buat suami tercinta.
“Happy birthday sayang, tahun ni hadiah terindah saya bagi dekat awak. Semoga Allah permudahkan urusan kita dunia akhirat.
“Semoga awak dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, dilindungi Allah serta sihat tubuh badan. Amin,” tulisnya.
Selain itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada Achey yang juga seorang penyanyi kerana menjalani kehidupan susah senang bersama sejak 11 tahun lalu.
“Terima kasih menjaga saya dari dahulu sehingga sekarang. 11 tahun penantian kita, insyaAllah kita usaha, Allah yang tentukan. Sayang awak,” katanya.
Video berdurasi hampir seminit itu memaparkan pasangan itu dan anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah dalam perjalanan untuk bertemu dengan Dr Thokha Muhammad.
Untuk makluman, Dr Thokha turut popular di media sosial kerana sering berkongsi video inspirasi mengenai pasangan yang berjaya memperoleh zuriat hasil rawatan dilakukan.
Pada ruangan komen, ramai pengikutnya mendoakan supaya urusan pasangan tersebut dipermudahkan Allah SWT dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Doktor ni popular untuk IVF
Moga dikurniakan zuriat
Untuk rekod, pasangan itu mengambil Nur Tiara Zinnirah sebagai anak angkat pada 2018.
Sumber: Instagram Anne Achey & Dr Thokha Muhammad