Rakam & sebar video aksi lucah teman wanita, remaja lelaki maut dipukul bapa kekasih
Seorang remaja lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) awal pagi Jumaat selepas mengalami kecederaan parah.
Remaja berusia 18 tahun itu difahamkan dibelasah dua orang lelaki tempatan berusia 43 dan 50 tahun di pusat komersil di Jalan Tun Jugah, Kuching.
Punca rakam & sebar video lucah teman wanita
Menerusi laporan dari Astro Awani merujuk kepada sumber asal, kejadian tersebut berlaku disebabkan tindakan mangsa yang didakwa merakam dan menyebarkan video lucah anak perempuan kepada salah seorang suspek yang juga merupakan kekasih mangsa.
Suspek sudah ditahan reman
Hal tersebut telah disahkan sendiri oleh Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa yang memaklumkan kedua-dua suspek sudah ditahan reman.
“Sepasukan polis dari cawangan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 50 tahun.
Mereka kini direman tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut, kes dipercayai berpunca daripada kisah percintaan,” katanya.
ADVERTISEMENT
Diklarifikasikan sebagai kes bunuh
Pihak polis telah mengklarifikasikan kejadian tersebut sebagai kes bunuh setelah mangsa yang dikejarkan ke hospital meninggal dunia.
“Proses bedah siasatan akan dilakukan 30 Julai (Sabtu) dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Merbin.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang menyalahi undang-undang seperti kes tersebut.
Disamping itu, Merbin juga menitipkan pesan agar mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kejadian tempoh hari segera menyalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.