Bayi lelaki lapan bulan maut, disyaki jadi mangsa dera ibu
Bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia dengan kesan kecederaan di badan dalam kejadian di Sungai Siput, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat itu pada 7.10 pagi.
Menurutnya, mangsa yang tidak sedarkan diri menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.
“Proses bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati terdapat kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan mangsa akibat objek tumpul,” katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja Ketua Polis Perak ke Pulau Pangkor, di sini, hari ini.
Menurutnya, susulan itu ibu kandung mangsa berusia 30 tahun yang bekerja sebagai jururawat ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Mangsa adalah anak tunggal dan tinggal bersama ibunya yang sudah bercerai sejak enam bulan lalu.
“Ibu mangsa direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kita akan menjalankan siasatan lanjut jika ada individu lain terbabit dalam kes ini,” katanya.