Mayat berulat, reput ditemui berbalut dalam karpet
Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing yang sudah hampir reput dan berulat ditemui dalam keadaan berbungkus dengan karpet di kawasan semak berhampiran kolam Air Panas, Lojing di sini kelmarin.
Penemuan mayat itu dilaporkan oleh seorang anggota pondok polis Lojing di sini selepas melihat objek seperti mayat manusia yang diikat dengan tali kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, mayat mangsa turut dibungkus menggunakan selimut dan terdapat bantal pada bawah kepalanya.
Menurutnya, mangsa dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai parut kesan suntikan Bacille Calmette-Guerin (BCG) dan disyaki telah meninggal dunia dalam tempoh lebih daripada 36 jam.
“Mayat mangsa ditemui dengan memakai baju lengan panjang berwarna biru, kain sarung selain terdapat tatu gambar burung pada lengan kanan.
“Mangsa yang belum diketahui usia dan identitinya ekoran tiada penemuan sebarang dokumen pengenalan diri padanya itu dipercayai mati di tempat lain, namun mayatnya dibawa sebelum ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Choon Foo, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, kawasan tersebut jauh dari kawasan kejiranan dan merupakan laluan utama yang digunakan dari Gua Musang ke Lojing.
Katanya, hasil bedah siasat juga menunjukkan tiada sebarang kecederaan akibat perbuatan jenayah dapat dikesan pada mayat mangsa.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut