Pengasas bersama kelab komedi Crackhouse ditahan untuk bantu siasatan

Pengasas bersama kelab komedi Crackhouse ditahan untuk bantu siasatan

 

 

 

 

 

 

Pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse dimaklumkan telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan komediri yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ditahan bantu siasatan

Menerusi laporan dari Berita Harian, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi di sebuah lokasi di ibu negara dan akan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Difahamkan, individu tersebut akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman oleh pihak polis pada pagi esok.

“Tangkapan dan siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” kata sumber.

Penahanan lelaki tersebut dipercayai dilakukan susulan beberapa laporan polis yang telah dibuat berhubung perkara yang tular sejak kebelakangan ini.

Pihak Bukit Aman juga akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.

Tak ada lesen hiburan

Sebelum ini, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan yang kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail itu beroperasi tanpa lesen hiburan dan digantung pengoperasiannya buat sementara. Pemilik premis hanya diberikan lesen restoran yang meghidangkan minuman keras sahaja.

Terdahulu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis berhubung isu penghinaan agama dan bangsa yang terjadi di lokasi tersebut apabila ada persembahan komediri lain yang dibuat oleh individu lelaki menjurus kepada menghina kaum Melayu merujuk kepada video yang tular baru-baru ini.

Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)