Lelaki ditembak semasa pulang bermain mahjong

Lelaki ditembak semasa pulang bermain mahjong

 

 

 

 

 

 

Bekas ahli perniagaan ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara, Jalan Desa Kiara 1, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.09 tengah malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai bermain mahjong dan keluar dari rumah terbabit menuju ke kereta jenis Toyota Vellfire miliknya yang diparkir di luar kawasan perumahan berkenaan.

“Seorang saksi di tempat kejadian mengatakan melihat mangsa melintas di hadapannya untuk ke tempat letak kereta. Namun tidak berapa lama kemudian, saksi terdengar bunyi tiga das tembakan dari arah tempat letak kereta.

“Saksi berkenaan pergi ke arah mangsa dan mendapati lelaki terbabit sudah terbaring di sebelah keretanya dalam keadaan berlumuran darah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, hasil semakan mendapati lelaki berusia 63 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan sudah tidak bekerja.

Katanya, pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222; Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-2115 9999 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya.