Warga emas maut, kereta dipandu lawan arus bertembung

Warga emas maut, kereta dipandu lawan arus bertembung

 

 

 

 

 

Padah melawan arus, seorang warga emas maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 32.8 Lebuh Raya Persekutuan menghala Klang, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah menerima satu laporan berkenaan kemalangan maut pada pukul 2.08 pagi.

“Kemalangan tersebut dipercayai berlaku pada pukul 1.45 pagi melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta jenis Proton Wira dan Honda City.

“Pemandu Proton Wira dipercayai memandu secara melawan arus lalu bertembung dengan kereta Honda City yang dipandu secara berdepan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan pemandu Proton Wira berumur 72 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu Honda City berusia 22 tahun pula mengalami kecederaan dan kini dirawat di zon merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya.