Dilema penduduk Flat: Cat dibuang kena kereta, sampah ‘landing’ atas kepala
Sudah menjadi rutin penduduk saban hari mendengar jeritan pemilik kenderaan yang terpaksa menanggung kerugian akibat tindakan penghuni membuang sampah dari tingkat atas Flat 4B, Farlim di sini.
Selain itu, ada juga insiden penduduk disimbah kari dan nasi basi ketika melalui jalan di bawah flat tersebut.
Menurut seorang penduduk, Ang Chee Teik, siap sesetengah penduduk suka membuang sampah dari tingkat atas di flat berkenaan bukan perkara baru namun ia semakin meruncing sejak kebelakangan ini.
Malah dia sendiri hampir cedera apabila sampah yang dibuang individu tidak bertanggungjawab itu mengenai bahagian tangan kanan ketika mahu mengubah posisi motosikal.
“Setiap hari, ada saja pemilik kenderaan akan jerit dan membunyikan hon sebagai tanda tidak puas hati dengan kerosakan pada kenderaannya akibat pembuangan sampah dari tingkat atas.
“Sampah yang dibuang dari tingkat atas mempunyai impak yang kuat walaupun ia sekadar nasi basi dan paling menjijikkan tuala wanita dipenuhi darah serta lampin pakai buang bayi antara pernah dibaling terkena penduduk.
“Kami sudah lali dengan sikap penghuni di sini yang tidak mempunyai kesedaran sivik, namun apa yang membimbangkan jangan sampai ada insiden meragut nyawa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Bagi K.Devan,43, pula, beg sampah ibarat ‘bom jangka’ di kawasan kediaman itu dan akan ‘meletup’ atas kenderaan atau mungkin mengenai orang tanpa mengira masa.
“Malam paling kerap kita boleh dengar bunyi dentuman sampah dibaling ke bawah kerana keadaan persekitaran sunyi ketika itu.
“Hujung minggu banyak sampah akan dibaling ke bawah hingga adakalanya bunyi itu mengganggu tidur penghuni,” katanya.
Dalam perkembangan sama, wanita yang ingin dikenali sebagai Subah berkata, dia terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas kereta jenis Perodua Kenari miliknya terkena cat yang dipercayai dibaling dari tingkat 13 flat berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku Khamis lalu kira-kira pukul 10 pagi ketika dia mahu ke tempat kerja.
“Selama ini rutin saya sekadar membersihkan sampah serta lampin bayi di atas kereta, namun tidak sangka cat pun mereka (penghuni) akan buang.
“Laporan polis berhubung kejadian ini sudah dibuat dan pelakunya juga sudah dikenal pasti,” katanya yang sudah menetap 10 tahun di flat itu.
Sementara itu, penduduk yang ingin dikenali sebagai Eng mendakwa dia hidup dalam ketakutan setiap kali menggunakan laluan bawah flat itu untuk ke tempat letak kenderaan kerana ia merupakan lokasi utama penghuni membuang sampah.
“Usia saya sudah mencecah 70 tahun dan saya tidak mempunyai kudrat untuk menahan kesakitan sekiranya ada sampah jatuh menghempap saya,” ujarnya.
Persoalannya sampai bila mentaliti setinggan ini masih menjadi kebiasaan sesetengah penduduk sehingga mengancam nyawa orang lain? – MG