Ketua balai polis ditahan positif dadah
Ketua balai polis di Selangor ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas didapati positif dadah jenis methaphethamine, kelmarin.
Serbuan dilakukan pasukan operasi dan pematuhan itu juga turut memeriksa tujuh anggota di balai yang sama.
Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, pemeriksaan dan ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka selepas aduan dan maklumat yang diterima.
“Maklumat mengatakan beberapa orang pegawai dan anggota polis menghadiri satu pesta dadah di sebuah premis persendirian di Kuala Lumpur.
“Susulan itu satu pemeriksaan mengejut dilakukan terhasap Ketua Balai dan anggota yang disyaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zamri berkata, ujian saringan air kencing mendapati Ketua Balai berkenaan positif dadah manakala tujuh anggota yang lain didapati negatif.
“Siasatan lanjut dan tindakan seterusnya akan diambil sewajarnya,” katanya.
Difahamkan Ketua Balai berpangkat Inspektor itu akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat. – HM