Akaun media sosial pihak berkuasa dan pemimpin Singapura diserang pengikut Abdul Somad

Akaun media sosial pihak berkuasa dan pemimpin Singapura diserang pengikut Abdul Somad

 

 

Akaun media sosial beberapa pemimpin politik dan agensi kerajaan di Singapura dispam pengikut kepada penceramah Indonesia yang tidak dibenarkan masuk ke Singapura pada Isnin, lapor CNA.

Memetik jurucakap Kementerian Komunikasi dan Penerangan (MCI), CNA melaporkan adanya gesaan untuk melancarkan serangan siber ke atas akaun media sosial Kerajaan Singapura.

Akaun Instagram Presiden Halimah Yacob, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Teo Chee Hean, dan Menteri Luar Vivian Balakrishnan adalah antara yang terjejas, termasuk akaun Twitter Lee.

Akaun Instagram Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan dan Lembaga Pelancongan Singapura turut dispam.

“Selain itu, laman sesawang dua syarikat pengurusan acara turut terjejas. Laman sesawang berkenaan dapat dipulihkan semula dan SingCERT akan menghubungi syarikat itu untuk membantu,” kata jurucakap MCI.

Menurut MCI organisasi tempatan yang terjejas akibat serangan siber atau mempunyai bukti adanya aktiviti mencurigakan terhadap rangkaian mereka perlu melaporkan kepada SingCERT.

Laporan boleh dibuat secara dalam talian.

Terdahulu pada 17 Mei, Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura mengesahkan pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara bersama enam rakannya tiba di Terminal Feri Tanah Merah Singapura dari Batam pada 16 Mei.

Abdul Somad disoal dan selepas itu rombongannya tidak dibenarkan masuk ke Singapura dan dihantar pulang semula ke Batam pada hari yang sama.

Antara lain, kementerian itu mendakwa Abdul Somad dikenali sebagai “pelampau dan penyokong dasar segregasi”, yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.

Menurut MHA kemasukan pelawat ke Singapura adalah berdasarkan kaedah “tidak secara automatik mahupun mempunyai hak” dan “setiap kes dinilai berdasarkan merit tersendiri.”