Awal Ashaari dihadapkan ke mahkamah, didakwa khianat rosakkan palang pagar

Awal Ashaari dihadapkan ke mahkamah, didakwa khianat rosakkan palang pagar

 

Pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari didakwa di Mahkamah Majistret, Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Menurut laporan Utusan, selebriti itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara dengan kerugian sebanyak RM600.

Difahamkan, kejadian berlaku di pondok pengawal perumahan itu di Jalan PJU 3/30 pukul 11.30 pagi pada 16 April lalu.

Susulan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.