Buntu agihan adil, Annuar sahkan ada kerusi bertindih dari PN-BN
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa memberi bayangan mengenai kemungkinan ada dua calon daripada Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di beberapa Dun pada pilihan raya negeri Sabah.
“Kemungkinan ada beberapa kerusi dibenarkan oleh parti dalam PN untuk diletakkan lebih dari satu calon.
“Contohnya kalau di situ ada Bersatu mungkin akan ada STAR… kita kena kaji profil dan kekuatan masing-masing,” katanya seperti dilapor Bernama.
Annuar berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Bubur Asyura di Surau An-Najah di Putrajaya, hari ini.
Untuk rekod PN menggabungkan Bersatu, BN, PAS, STAR, Parti Maju Sabah (SAPP), parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata Umno dan Bersatu telah mencapai kata sepakat berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam proses rundingan yang berjalan dengan harmoni.
“Saya boleh kata ia (pembahagian kerusi) telah 100 peratus selesai,” katanya
Menurutnya, pengumuman calon yang akan bertanding akan dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin.
Annuar berkata Umno dan Bersatu akan memberi tumpuan di 45 kerusi yang majoritinya adalah bumiputera Islam, manakala baki 28 lagi kerusi pula akan ditandingi parti-parti lain di bawah PN.
Sebanyak 73 kerusi Dun Sabah akan dipertandingkan pada PRN Sabah yang dijadualkan pada 26 Sept ini.
Hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini manakala hari mengundi awal pada 22 Sept.
Sumber : Malaysiakini