Identiti pemandu lelaki rentung kereta terbakar dikenal pasti

Identiti pemandu lelaki rentung kereta terbakar dikenal pasti

 

Identiti pemandu Proton Persona yang rentung selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan dan terbakar di Kilometer 19.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Napoh kelmarin sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa disahkan sebagai Muhammad Akhimullah Amaran, 30, beralamat di Kangar, Perlis.

Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai penjaga stor.

“Siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian 11.40 malam kelmarin, seorang lelaki yang meninggal dunia selepas Proton Persona dipandu terbakar selepas kemalangan di Kilometer 19.4 Lebuhraya Utara Selatan, Napoh di sini dan dikatakan sempat meminta tolong.

Kemalangan itu turut membabitkan Toyota Vellfire yang dinaiki tujuh sekeluarga yang dalam perjalanan dari Perlis ke Banting, Selangor dan kesemua mereka mengalami kecederaan serta dirawat di Hospital Jitra.