Akibat dituduh curang, suami bunuh isteri sehari sebelum hari raya
Tidak berpuas hati isteri dakwa curang di media sosial menjadi punca seorang lelaki membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah rumah flat sekitar Cheras, di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, wanita itu telah dihantar ke Hospital Kajang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa yang berusia 28 tahun itu kemudian disahkan mati namun pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam di beberapa bahagian anggota badan.
“Hasil bedah siasat pula menunjukkan punca kematian adalah disebabkan kecederaan abdomen akibat hentakan kuat menggunakan senjata tumpul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa dipercayai telah dipukul menggunakan kaki dan tangan termasuk senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian.
“Susulan itu, kita telah menahan suami mangsa berusia 38 tahun yang bekerja sebagai mekanik kereta untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, suspek akan dituduh Isnin depan di Mahkamah Majistret Kajang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.