Radhi OAG kecewa tawaran persembahan tiba-tiba dibatalkan

Radhi OAG kecewa tawaran persembahan tiba-tiba dibatalkan

 

Penyanyi yang juga vokalis kumpulan OAG iaitu Radhi meluahkan rasa kecewa apabila tawaran persembahan dibatalkan selepas dia didakwa atas pertuduhan mencederakan dan memukul bekas isterinya.

Memetik Harian Metro, Radhi berkata dia belum dibuktikan bersalah oleh mahkamah namun seolah sudah dihukum.

“Saya sedih bercampur kecewa apabila tawaran persembahan yang dah dipersetujui sebelum ini tiba-tiba dibatalkan begitu saja. Saya cuma mohon jasa baik penganjur agar berlapang dada dan berikan saya peluang untuk cari rezeki. Belum terbukti saya bersalah tapi saya seolah-olah dah dihukum oleh mereka,” katanya.

Menurut Radhi lagi, bagaimana dia mahu meneruskan kehidupan serta menyara anak-anaknya apabila tawaran persembahan di Johor dibatalkan begitu sahaja.

“Setakat ini saya dah hilang RM8,000 apabila tiga tawaran menyanyi untuk Raya di tiga kompleks membeli belah di Johor.

“Saya sangat kecewa sehinggakan malas nak ingat nama tiga lokasi terbabit. Bayangkan penganjur tiba-tiba tak jawab panggilan saya,” katanya.

Kongsi Radhi lagi, dia menyedari tentang perkara itu selepas dia keluar dari lokap namun tidak menyalahkan mana-mana pihak di atas apa yang berlaku.

“Mulanya saya bersangka baik tak mungkin persembahan ini dibatalkan. Rupa-rupanya penganjur buat tak reti sahaja dengan saya.

“Sebenarnya saya tak salahkan sesiapa dalam perkara ini terutama bekas isteri, Ayu walaupun tindakannya menyebabkan perkara ini terjadi.

“Ia lebih berkaitan sikap sesetengah orang kita yang tersilap menghakimi sedangkan kes belum dibicarakan. Saya seolah dah disahkan bersalah,” katanya.

Terdahulu, Radhi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 22 April atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri, di kawasan rumahnya di Kota Damansara pada 19 April lalu.