Polis buru ‘polis’ lakukan perbuatan seks luar tabii terhadap wanita di taman permainan
Polis memburu lelaki dipercayai menyamar sebagai polis dan memaksa seorang wanita melakukan perbuatan seks luar tabii di taman permainan kanak-kanak di kawasan perumahan di sini, dua hari lalu.
Ketua polis daerah Batu Pahat Ismail Dollah berkata, mangsa berusia 23 tahun itu membuat laporan polis mengenai kejadian itu, hari ini, lapor Bernama.
Menurut laporan, mangsa dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari ibu pejabat Batu Pahat.
Difahamkan, mangsa dan suspek terbabit berkenalan di media sosial, sebelum berjumpa beberapa kali.
“Suspek mengajak mangsa menemaninya ke Simpang Renggam, berhampiran Kluang, untuk mengambil satu kenderaan yang dikatakan sedang diperbaiki di situ.
“Wanita itu kemudian memandu keretanya sendiri ke Taman Banang Heights di sini untuk menjemput suspek. Bagaimanapun, lelaki itu pula meminta RM100 daripada mangsa kononnya untuk menampung kos membaiki kenderaannya,” katanya.
Menurutnya, ketika menunggu mekanik, suspek yang dipercayai berusia awal 20-an menyerang mangsa secara seksual.
Ismail berkata pihaknya kini memburu suspek. – FMT