Kalimah Allah terlihat di langit pada 27 Ramadan

Kalimah Allah terlihat di langit pada 27 Ramadan

 

“Saya berasa sebak dan bersyukur kerana dapat melihat kebesaran Allah di malam 27 Ramadan ini.

Demikian kata Nur Zahirah Ulfah, 30 yang berpeluang melihat dan merakam awan berbentuk kalimah Allah di langit sekitar pukul 11.30 malam tadi.

Rakaman video tersebut kemudiannya telah di muat naik di laman Facebook (FB) miliknya dan telah ditonton oleh kira-kira 7,000 pengguna FB yang lain.

Nur Zahirah yang menetap di Jitra berkata ketika kejadian dia sedang berbual bersama suaminya, Muhammad Faiz Ismail, 32, dan seorang jiran Nur Fatin Ibrahim, 33
di luar rumah ibunya, di Taman Bandar Baru, di sini.

Katanya, ketika kejadian cuaca terasa dingin dan kelihatan kerlipan cahaya seperti kilat di langit namun tiada sebarang bunyi guruh.

“Kerlipan cahaya di langit selama hampir sejam tanpa bunyi itu menyebabkan saya dan suami tergerak hati untuk merakam cahaya itu kerana kami belum pernah melihat situasi seperti itu,”katanya.

Katanya, ketika rakaman itu dibuat, mereka perasan terdapat awan berbentuk kalimah Allah akan kelihatan sebaik sahaja cahaya tersebut terpancar di langit

“Lidah saya terkelu seketika sebaik sahaja melihat kalimah Allah terpancar bersama cahaya tersebut.

“Kalimah Allah itu hanya kelihatan dalam tempoh 10 saat sahaja sebelum ianya hilang.

“Saya anggap itu sebagai rezeki dari Allah SWT untuk saya melihat kebesaran-Nya,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Kosmo! di ruangan komen video tersebut, pengguna FB rata-rata meninggalkan komen dapat melihat kalimah Allah dengan jelas.