Mangsa sindikit tipu kerja di Kemboja dikurung, direnjat dengan elektik
Bukan sahaja dikurung dan dikawal ketat oleh kumpulan sindiket, malah mangsa ditampar, dipukul serta dicederakan menggunakan alat renjatan elektrik.
Perkara itu didedahkan peguam yang mewakil semua mangsa, Heng Zhi Li, ketika ditemui petugas media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), semalam.
Menurutnya, dia dimaklumkan salah seorang daripada mangsa dicederakan menggunakan alat renjatan elektrik oleh ahli sindiket selepas ditangkap kerana cuba melarikan diri.
“Mangsa cuba lari dari kawasan kurungan untuk memohon bantuan orang awam, namun disedari ahli kumpulan sindiket itu.
“Selepas kejadian itu, semua mangsa diberi amaran tindakan lebih keras jika cuba melarikan diri dari kurungan berkenaan,” katanya.
Menurut Zhi Li, pihaknya membuat siasatan mengenai mangsa sejak Januari lalu selepas menerima aduan daripada seorang kakak mangsa.
Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) bagi mengesan koordinat bangunan berserta gambar bangunan diduduki mereka.
“Semua butiran lengkap itu diserahkan kepada MAPO dua minggu lepas dan hasilnya mereka dikesan serta diselamatkan pihak berkuasa Kemboja pada 4 April lalu,” katanya.
Jelasnya lagi, mangsa berlepas ke Kemboja sejak September tahun lalu secara berperingkat dan dibiayai sindiket dipercayai dari China.
Katanya, mangsa dijanjikan gaji lumayan sehingga RM7,000, namun tidak pernah menerimanya, sebaliknya diberikan kad tunai untuk membeli makanan dan barangan di bangunan berkenaan dengan dikawal anggota sindiket.
Lebih malang, katanya, mangsa dipaksa menggunakan akaun palsu dalam media sosial untuk memancing orang lain yang berpotensi untuk menipu melabur dalam wang kripto atau saham tidak wujud.
Ujarnya lagi, semua mangsa mendapat permit kerja dari Kerajaan Kemboja yang dipalsukan sindiket tersebut.
“Selain itu, salah seorang keluarga mangsa sebelum ini turut membayar wang tebusan sebanyak RM18,000 bagi membebaskan mangsa,” katanya.