Polis tembak tayar kenderaan bawa warga asing
Seorang lelaki yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan dan membawa 12 warga Myanmar tanpa dokumen pengenalan diri berjaya ditahan polis selepas bertindak nekad meloloskan diri daripada sebuah sekatan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di Gambang, di sini hari ini.
Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata tindakan suspek berusia 33 tahun yang memandu Nissan X-Trail itu menyebabkan polis melepaskan lima das tembakan termasuk ke arah tayar hadapan kenderaan itu yang akhirnya berhenti selepas satu kilometer akibat tayar pancit.
“Suspek sebelum itu dikatakan memecut laju kenderaannya secara tiba-tiba semasa menghampiri SJR berkaitan Operasi Samseng Jalanan di Kilometer 200 lebuh raya itu dan menggunakan lorong kecemasan untuk melarikan diri sebelum cuba memasuki semula lorong laju sehingga hampir melanggar anggota polis yang bertugas.
“Polis melepaskan tembakan ke udara sebagai amaran namun pemandu enggan berhenti menyebabkan kenderaan peronda lebuh raya (EMPV) terpaksa mengejarnya. Selepas kenderaan berhenti, suspek juga melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebelum berjaya ditangkap,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Ramli berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 12 lelaki warga Myanmar menaiki kenderaan itu, selain seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai anak saudara kepada suspek yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.