Kecantikan hidung menjadi cacat, pemilik salun saman klinik

Kecantikan hidung menjadi cacat, pemilik salun saman klinik

Seorang pemilik salun mengemukakan saman RM2.7 juta terhadap dua doktor sebuah klinik kecantikan di Kepong di sini kerana didakwa cuai dalam menjalankan pembedahan terhadap hidungnya.

Pemilik salun di Axis Mall Ampang, Adam Hamil, 34, berkata, dia menjalani pembedahan “rhinoplasty surgery” di klinik tersebut sebanyak dua kali bagi memperbaiki kedudukan hidungnya yang sedikit senget.

“Doktor kata boleh buat (hidung saya) 98 peratus sempurna, tetapi inilah hasilnya (kecacatan hidung) yang saya dapat. Sepatutnya selepas pembedahan hidung jadi “centre” (lurus).

“Pembedahan pertama pada 21 Mei 2021 bayaran RM10,000 dan pembedahan kedua pada 28 Jun percuma, tetapi hidung jadi semakin teruk,” katanya pada sidang media di pejabat peguamnya di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Sementara itu, Peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, anak guamnya menuntut RM2.7 juta daripada defendan meliputi ganti rugi khas RM152, 211.95, ganti rugi am RM2,100,000 dan ganti rugi teladan RM500,000.

Menurut beliau, ganti rugi am RM2,100,000 termasuk ganti rugi bagi kecuaian perubatan, trauma, kejutan dan tekanan perasaan, kehilangan reputasi dan keyakinan perniagaan.

“Dalam kes ini tuntutan plaintif terhadap defendan adalah atas kuasa tindakan kecuaian perubatan, salah nyata dan penipuan terhadap anak guam kami semasa melakukan pembedahan “rhinoplasty surgery”.

“Tuntutan ini adalah berkenaan kecacatan hidung yang dialami oleh anak guam kami,” katanya.