Rakyat Rusia menyerbu restoran McDonald’s sebelum ditutup

Rakyat Rusia menyerbu restoran McDonald’s sebelum ditutup

Ekoran kemelut peperangan yang melanda antara Rusia dan Ukraine, beberapa rangkaian makanan terkenal dunia terutama yang berasal dari Amerika Syarikat telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi sebagai tanda protes.

Salah satunya, syarikat makanan francais dunia, McDonald’s yang menggaji seramai 62,000 pekerja di Russia mengumumkan penutupan kesemua 850 restorannya buat sementara waktu.

Sejurus pengumuman tersebut, penduduk Rusia berpusu-pusu menyerbu McDonald’s bagi mendapatkan hidangan burger Big Mac terakhir.

Lapor Daily Mail, ratusan kereta dilihat beratur di luar restoran pandu lalu tersebut, ketika salji mula turun di bandar itu.

Ketua Pegawai Eksekutif McDonald’s di Rusia, Chris Kempczinski berkata, pihak syarikat memaklumkan akan terus membayar gaji pekerjanya yang telah mencurahkan sepenuh hati dan jiwa terhadap jenama McDonald’s.

Syarikat yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) itu memiliki dan mengendalikan cawangan di Rusia sejak 1990 semasa berakhirnya Perang Dingin.

Semasa rangkaian itu mula dibuka 30 tahun lalu, warga Rusia turut kelihatan beratur panjang di luar restoran kerana tidak sabar untuk mencuba makanan segera dari Barat itu.

Rusia Serbu McDonalds Sebelum Ditutup

 

Bukan itu sahaja, beberapa produk makanan segera Amerika Syarikat iaitu McDonald’s dijual pada harga tinggi menerusi laman web.

Menurut Anadolu Agency, beberapa burger telah dijual pada harga US$150 atau kira-kira RM647.

Salah seorang penduduk di sana mengatakan keputusan penutupan operasi itu tidak masuk akal dan menyedihkan. Orang ramai terutama golongan remaja kini tidak lagi mempunyai kawasan untuk berlekap selepas sekolah memandangkan kafe atau restoran lain menjual menu yang terlalu mahal.

Untuk rekod, McDonald’s memiliki lebih kurang 84 peratus cawangan di Rusia dan lebih kurang sembilan peratus hasil keuntungan yang diperolehi datang dari Rusia dan Ukraine.