Salah dipersalahkan kerana pentingkan diri sendiri
Michael Owen percaya sikap ‘mementingkan diri sendiri’ Mo Salah menghalang Liverpool daripada mempamerkan prestasi terbaik mereka.
Bintang Mesir itu kini melalui empat perlawanan liga tanpa gol manakala skuad Reds juga tanpa kemenangan dalam empat perlawanan.
Ia menyaksikan juara bertahan itu kini ketinggalan di belakang Manchester United selain diatasi Man City dan Leicester.
Salah, 28, mengekalkan prestasi terbaiknya ketika menjaringkan gol awal musim ini dengan 13 gol dalam 17 penampilan liga.
Namun dia kecewa selepas sekali lagi buntu ketika seri 0-0 berdepan Red Devils.
Dan Owen yang beraksi ketika berusia 17 tahun di Anfield, percaya Salah tidak melakukan secukupnya bagi membantu pasukan.
Dia memberitahu Produksi Liga Perdana: “Ada banyak sikap pentingkan diri, saya melihatnya sekali lagi.
“Mo Salah sekali lagi tidak menghantar bola secukupnya. Dia tidak pernah memberikan secukupnya, tapi ia terlampau. Selepas beberapa perlawanan terakhir, saya mula memikirkan ‘jangan begitu’.”
Ini bukan kali pertama Salah dipersalahkan kerana terlalu mementingkan diri.
Pada September 2019, Sadio Mane bertelagah dengan rakan sepasukannya itu selepas Salah tidak melorongkan bola kepadanya walaupun pintu gol sudah terbuka.
Bos, Jurgen Klopp terpaksa mempertahankan bekas pemain Chelsea itu dan berkata dia tidak akan memberitahu Salah untuk berhenti melakukannya. – BH