Kanak-kanak 8 tahun dilaporkan maut selepas terjatuh dari gelongsor air
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas terjatuh hampir 50 kaki ketika menaiki gelongsor air yang sedang diselenggara di sebuah taman hiburan di Goias, Brazil.
Memetik laporan Mirror, gelongsor tiub itu tidak ditutup dengan betul dan sedang menjalani penyelenggaraan pada 13 Februari lalu.
Kejadian yang berlaku di Taman Acqua diRoma di perbandaran Caldaas Novas itu memperlihatkan empat gelongsor air membentuk ‘perjalanan’ dengan alur keluar dari ‘puncak gunung berapi’ replika.
Polis berkata pintu masuk untuk ke gelongsor tersebut hanya ditutup dengan menggunakan pita, membolehkan ia diakses masuk oleh mangsa yang pergi ke kawasan permainan itu seorang diri tanpa disedari ibu bapanya.
“Anak saya adalah seorang yang luar biasa, penuh dengan buah fikiran dan seorang budak lelaki yang sangat rajin belajar. Dia hanya mahu bermain tetapi tidak kembali ke pangkuan kami, ia sangat menyakitkan,” kata ibu kepada kanak-kanak itu.
Difahamkan, mangsa telah terjatuh dari ketinggian hampir 14 meter sebelum melanggar struktur kayu dan logam yang menyokong gelongsor itu. Dia kemudiannya berguling ke dalam kolam yang hanya sedalam 70cm.
Ketika diselematkan, mangsa dikatakan masih hidup tetapi meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Mangsa dipercayai sudah tahu selok belok taman air tersebut kerana sudah beberapa kali pergi ke situ.
Sementara itu, ibu bapanya mendakwa bahawa pihak pengurusan taman itu cuai dan mereka akan menuntut keadilan.