Elak mat rempit, bas ‘tergolek’ terjun parit sedalam 4 meter

Elak mat rempit, bas ‘tergolek’ terjun parit sedalam 4 meter

Sebuah bas dilaporkan ‘terguling’ sebelum terhumban ke dalam kawasan parit sedalam empat meter selepas dipercayai mengelak dua pelumba motosikal, memetik laporan kompas.com.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Jalan Nglipar-Ngawen, Gunungkidul, DI Yogyakarta.

Menurut kompas.com, bas itu dipandu oleh Bowo. Pada hari kejadian, Bowo dikatakan perlu mengambil penumpang dari Semin ke Wonosari untuk menuju ke Jakarta.

Semasa bas itu melalui selekoh di Wot Galih, kelihatan dua orang remaja menunggang motosikal yang dipercayai sedang melakukan lumba haram.

Difahamkan, penunggang motosikal itu memandu dalam keadaan laju hingga salah seorang daripadanya termasuk ke lorong bas.

Akibat terkejut melihat dua buah motosikal itu, pemandu bas terpaksa membelok ke kanan bagi mengelak terempuh penunggang motosikal berkenaan.

“Saya akhirnya cuba mengelak daripada terbabas.

“Stereng saya berpusing ke kanan,” kata Bowo.

Walau bagaimanapun, bas itu termasuk ke dalam parit sedalam empat meter, lapor bacajogja. Bas itu dikatakan hanya berhenti berguling selepas ia melanggar sebatang pokok.

Memetik laporan bacajogja terdapat seorang saksi di tempat kejadian iaitu Guntaro. Menurut Guntaro tiada sebarang kecederaan yang melibatkan nyawa dilaporkan.

Difahamkan, proses mengalihkan bas agak sukar dilakukan kerana ia jatuh pada kedalaman empat meter. Hal ini membuatkannya terpaksa diangkat dengan menggunakan alat yang berat.

Pengarah Latihan Jakarta Defensive Driving Consulting (JDDC) Jusri Pulubuhu berkata, perlumbaan haram di lebuh raya terutama semasa jalan sesak adalah perbuatan yang sangat berbahaya.