Tular makanan RMT sekadar nasi putih & kuah, KPM akan siasat

Tular makanan RMT sekadar nasi putih & kuah, KPM akan siasat

Tular di media sosial hari ini apabila seorang pengguna Facebook mendakwa cucu saudaranya yang juga seorang pelajar layak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) hanya diberi nasi putih dan kuah semata-mata ketika di sekolah.

Wanita yang dikenali sebagai Zurina Hassan itu berkongsi sekeping foto memaparkan rupa makanan itu dan turut mempersoalkan peruntukan sebenar kerajaan di bawah program tersebut.

Soal Zurina, adakah peruntukan yang diberikan terlalu sedikit sehingga para pelajar terpaksa dihidangkan hidangan sedemikian rupa oleh pengusaha kantin?

Sebelum ini budak-budak mengadu makanan RMT tak sedap, kita pun beritahu kena bersyukur sebab masih ada makanan. Tetapi ini makanan untuk siapa? Ayam?

Sehubungan dengan penularan isu tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memaklumkan bahawa mereka akan menyiasat dan tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan kebajikan pelajar.

 

 

Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat – Radzi Jidin

Sekadar info, RMT telah mula dilaksanakan sejak tahun 1979 di mana ia diwujudkan untuk memenuhi kebajikan pelajar miskin dengan makanan harian percuma.

Ia kemudiannya ditambah baik pada tahun 2020 dan mempunyai lebih kurang 20 menu hidangan pilihan seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.