Polis siasat restoran dihiasi gambar pemimpin komunis
Polis Pulau Pinang akan menyiasat tindakan seorang pemilik restoran makanan di negeri ini yang bertindak memasang dan menghiasi dinding premisnya dengan wajah pemimpin komunis, Mao Tze Tong.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Rahimi Ra’ais berkata, polis telah membuka kertas siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik restoran berhubung perkara itu.
Katanya ketika dihubungi pada Sabtu, siasatan pihak polis mendapati dua premis restoran, iaitu di Pulau Tikus dan Auto City di Juru, memaparkan gambar berkenaan.
Hasil siasatan pihaknya mendapati, restoran itu dimiliki seorang lelaki berusia 40 tahun.
Setakat ini, pihak polis belum mengambil keterangan daripada pemilik premis kerana lelaki itu sedang menjalani kuarantin COVID-19 selama 14 hari.
Rahimi berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Pada Sabtu, tular di media sosial sebuah restoran makanan menghiasi dinding dengan gambar wajah pemimpin komunis tersebut, mengundang kecaman warga net.