Hujan lebat & ribut petir dijangka melanda 13 buah negeri sehingga malam ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menyenaraikan negeri dan kawasan yang dijangka dilanda hujan lebat serta ribut petir hingga 8 malam ini.
Data terkini yang dikeluarkan adalah pada 6 petang tadi dan rajah infografik menunjukkan cuaca hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda hampir keseluruhan Semenanjung.
Menurut laporan terkini di Twitter MetMalaysia, hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda di seluruh zon Utara Semenanjung iaitu di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian besar Perak.
Kawasan yang dijangka terlibat di Perak pula ialah di Kerian, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bahan Datuk dan Hilir Perak.
Manakala di Zon Pantai Timur dan sebahagian Zon Tengah, kawasan yang terlibat ialah di Jeli dan Gua Musang di Kelantan dan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Bentong, Kuantan, Bera serta Rompin di Pahang.
Bagi Zon Lembah Klang, hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Gombak dan Hulu Langat di Selangor.
Selain itu, bagi Zon Selatan, Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing turut dijangka dilanda kedua-dua keadaan cuaca berkenaan, selain sebahagian Johor pun turut sama terlibat.
Kawasan yang terlibat di Johor termasuklah di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Sementara itu kawasan terlibat lain adalah di Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat di Sabah; Miri (Subis, Miri dan Marudi) serta Limbang di Sarawak dan seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.
Sumber: MetMalaysia