Tular video kemalangan rempuh belakang Alza & larikan diri, polis kesan pemandu Toyota Corolla

Tular video kemalangan rempuh belakang Alza & larikan diri, polis kesan pemandu Toyota Corolla

Susulan video tular yang memaparkan kemalangan di Persiaran Bukit Jambul 5, Pulau Pinang, pihak polis mengesahkan bahawa salah seorang individu yang terlibat dalam kejadian itu telah membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang, ACP Soffian Santong berkata hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 8 November sekitar jam 8.48 pagi.

Menurutnya, kemalangan kecil itu berlaku di antara sebuah kereta jenis Toyota Corolla yang telah melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Alza.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan di hadapan berhenti di simpang untuk sedia membelok, pemandu kereta Toyota Corolla tersebut tidak mengikut giliran dan memotong ke kanan (garisan berkembar dan melawan arus) dan telah mencelah masuk semula ke laluan asal (kiri) apabila terdapat kenderaan lain datang dari arah bertentangan.

Katanya, akibat tindakan pemandu Toyota itu, dia telah melanggar bahagian bumper belakang kereta Perodua Alza yang berada di hadapannya.

Pemandu Perodua Alza yang merupakan lelaki warga tempatan telah turun dari kenderaannya dan cuba untuk berbincang namun pemandu kereta Toyota Corolla bukan sahaja enggan memberikan kerjasama malahan terus melarikan diri.

“Semakan lanjut mendapati kenderaan Perodua Alza berkenaan mengalami kerosakan kecil di bahagian bumper belakang sebelah kanan manakala pemandu tidak mengalami apa-apa kecederaan.

“Setakat ini pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan Toyota Corolla berkenaan masih belum tampil membuat laporan polis,” kata ACP Soffian.

Tambahnya, usaha mengesan pemandu dan pemilik kenderaan sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah kaedah-kaedah lalulintas 1959.