Cemas anak berusia 2 tahun tertelan duit syiling 10 sen
Umum mengetahui, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam membesarkan serta menjaga anak-anak mereka dari segi pemakanan dan kesihatan.
Kelincahan anak-anak lebih-lebih yang sudah menjangkau usia 2 tahun ke atas sudah semestinya menjadi cabaran untuk ibu bapa menguruskan mereka.
Namun, anak-anak diusia tersebut juga mempunyai habit yang gemar memasukan segala benda yang dijumpainya ke dalam mulut tanpa mengetahui bahaya yang akan menimpa mereka.
Ibu cemas anak tercekik duit syiling
Kejadian sama turut berlaku kepada sepasang suami isteri yang berdepan detik cemas apabila anaknya berusia 2 tahun tercekik duit syiing 10 sen dalam kejadian Jumaat lalu.
Kejadian dikatakan berlaku ketika isteri, Nor Aidatul Azua Baharudin sedang menunaikan solat manakala suaminya Muhamad Rapi, berada di dapur bersama 3 orang anaknya.
Bercerita tentang kejadian, anaknya, Muhamad Afeef Dayyan, sudah selesai diberikan makan dan suaminya terus menurunkannya dari kerusi kanak-kanak.
Usai makan, suaminya juga mendedahkan seperti perasan anaknya itu ada mengambil duit syiling berhampiran mesin basuh, namun tidak perasan anaknya memasukkan ia ke dalam mulut.
Suami dengar suara Ayyan seakan tercekik dan segera bergegas ke arahnya. Apabila tengok dalam mulut, didapati duit syiling itu tiada.
Kata Nor Aidatul, suaminya bertindak menepuk belakang Ayyan beberapa kali selain turut menjolok tekaknya. Namun, cara tersebut tidak berhasil.
Apabila ditanya, Ayyan hanya mengangakan mulut sambil menunjukkan ia sudah memasuki mulut.
Bergegas ke Hospital, buat pemeriksaan X-ray
Tidak menunggu lama, mereka kemudiannya bergegas ke Hospital Kuala Kubu Bahru (KKB) bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
Menurut doktor, duit syiling tersebut sudah berada di dalam perut Ayyan selepas pemeriksaan X-ray dijalankan.
Doktor memberi tempoh tiga hari untuk pastikan ia keluar semasa Ayyan membuang air besar.
Pagi semalam, Ayyan buang air besar tetapi duit syiling itu tidak mahu keluar. Hari ini, dia sekali lagi menjalani pemeriksaan X-ray dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mendapati syiling berkenaan masih kekal di tempat sama.
Menurutnya, Nor Aidatul mengakui berasa trauma dengan perkara itu dan hanya mampu berdoa kepada Allah SWT agar duit syiling itu dapat keluar.
Dia dan suami tidak menyangka anaknya itu akan menjumpai duit syiling berkenaan selain turut menjadikan ia sebagai pengajaran.
Selalunya, kalau saya mengemas rumah dan ternampak benda asing termasuk duit syiling, saya segera kutip dan simpan. Tetapi, tak sangka Ayyan boleh terjumpa syiling itu.
Pada masa sama, dia juga turut menitipkan nasihat kepada ibu bapa di luar sana agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak khususnya anak kecil.
Kredit: Harian Metro