MB Perak nafi ada tawaran jawatan Exco pada AMANAH, PKR
Tidak wujud tawaran jawatan Exco Kerajaan Perak terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Keadilan Rakyat (PRK), kata Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata walaupun di peringkat awal pembentukan kerajaan, UMNO ada mengadakan perbincangan dengan semua parti termasuk dari gabungan Pakatan Harapan (PH), namun tiada sebarang janji ataupun tawaran jawatan Exco dibuat.
“UMNO tidak ada buat apa-apa tawaran atau perjanjian. Sebab semua parti datang berbincang. Kita berbincang dengan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR, AMANAH dan DAP.
“Kerana pada kita ketika itu kita harus menubuhkan kerajaan untuk meluluskan bajet negeri dan buat kebajikan untuk rakyat. Tidak boleh ada kerajaan tergantung.
“Semua parti faham pada masa itu untuk kita tubuhkan kerajaan. Menubuhkan kerajaan dengan siapa, itu bergantung pada persefahaman. Dan kini terbukti kita kembali bersama antara UMNO, PAS dan BERSATU,” katanya selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Menteri Besar di Dewan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Lenggong, hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz serta Ahli Parlimen Lenggong merangkap Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Semalam media melaporkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa UMNO Negeri sebelum ini ada menawarkan jawatan Exco Kerajaan Negeri kepada AMANAH dan PKR sekiranya dua parti tersebut sedia membentuk kerajaan bersama.
Kor Ming berkata, tawaran tanpa DAP itu dibuat bagi membentuk kerajaan bersama selepas BERSATU dan PAS tidak memberikan sebarang kata putus.
Mengulas lanjut, Saarani berkata keadaan mungkin berbeza sekiranya BERSATU dan PAS membuat keputusan untuk tidak bersama UMNO bagi membentuk kerajaan negeri.
“Pada awalnya kita berharap PAS dan BERSATU bersama menubuhkan kerajaan. Namun kita lihat Setiausaha Agung PAS nyatakan tidak mahu menyertai kerajaan ketika itu, maka tinggallah UMNO, Bebas dan BERSATU. BERSATU pula pada awal tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Apabila demikian, kita tidak boleh menunggu kerajaan tergantung. Kita ketika itu harus juga menubuhkan kerajaan. Namun akhirnya, BERSATU dan PAS membuat keputusan untuk bersama dengan UMNO,” jelas beliau.
Untuk rekod, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, UMNO memiliki 25 kerusi, diikuti DAP (16), AMANAH (5), BERSATU (5), PAS (3), PKR (3), GERAKAN (1) dan seorang wakil rakyat Bebas.
Sumber: https://peraktoday.com.my/2020/12/tak-wujud-tawaran-exco-perak-pada-amanah-pkr-saarani/amp/