Tak rasa janggal beza umur 7 tahun, Zizi Kirana puji Yusuf Bahrin sopan & matang – ‘Lagipun saya suka lelaki muda’

Tak rasa janggal beza umur 7 tahun, Zizi Kirana puji Yusuf Bahrin sopan & matang – ‘Lagipun saya suka lelaki muda’

Umum mengetahui, penyanyi Zizi Kirana telah sah menjadi isteri kepada pelakon, Yusuf Bahrin, semalam. Menurut Zizi, dia sangat tertarik dan menyenangi sikap suaminya yang sopan santun dan matang.

 

Umur bukan isu utama

Menerusi laporan Harian Metro, Zizi memberitahu bahawa suaminya tidak menjadikan perbezaan umur tujuh tahun antara mereka sebagai isu utama.

Kami hanya berkenalan selama dua bulan dan alhamdulillah, semuanya dipermudahkan. Tarikh 29 Ogos lalu kami bertunang secara virtual. Saya senang dengan Yusuf kerana dia lelaki yang sopan dan matang berbanding usianya. Yusuf menerima saya seadanya walaupun saya lebih tua daripada dia. Saya tak rasa kekok dan janggal dengan Yusuf biarpun dia lebih muda. Lagipun saya kan suka lelaki yang lebih muda, saya suka ‘anak ikan’.

Disoal mengenai bulan madu, Zizi berkata mereka masih belum merancang untuk bercuti. Bagaimanapun, mereka telah merancang untuk menunaikan umrah sebaik sahaja sempadan antarabangsa telah dibuka kelak.

Soal cahaya mata

Berkongsi mengenai perancangan cahaya mata, Yusuf menyerahkan segalanya kepada ketentuan takdir.

Soal anak, kami tak meletakkan sebarang sasaran. Kalau ada rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat, kami terima. Kami serahkan kepada Allah saja. Sejujurnya, saya merancang nak kahwin pada usia 35 tahun apabila sudah ada rumah sendiri dan bisnes. Tetapi ini adalah aturan Allah, hati saya digerakkan untuk berkahwin pada usia sekarang. Kalau ikut karakter pun, saya yang nampak lebih tua berbanding Zizi.

Tambah Yusuf, jodoh mereka sudah tertulis jadi umur tidak penting. Apa yang penting adalah hati yang ikhlas dan jujur. Yusuf turut mengakui bahawa dia sangat suka cara perwatakan Zizi yang sangat bersahaja. Perkara tersebut membuatkan dirinya jatuh hati terhadap pelantun suara ‘Eh’ itu. Jelas Yusuf lagi, Zizi juga seorang yang baik hati dan menghormati orang tua.

Cara dia cakap dengan saya pun sangat lembut. Tapi, bila cakap dengan kawan-kawan, caranya macam gangster pula.

Sumber: Harian Metro