Tular cabut gelang ‘pink’ sebab nak keluar, remaja dikompaun
Di musim pandemik ini, jumlah jangkitan kian meningkat menyebabkan ramai dalam kalangan netizen akan dibekalkan gelang pink pada lengan mereka.
Namun sejak akhir-akhir ini, gelang pink sentiasa menjadi isu. Bukan apa, terdapat individu tidak bertanggungjawab yang mencabut gelang tersebut demi untuk kepentingan diri sendiri.
Buka gelang pink
Baru-baru ini tular di media sosial memaparkan seorang gadis yang melakukan aksi sama sambil dipercayai dirakam oleh rakannya.
Melalui video tersebut, remaja berkenaan nekad membuka gelang tersebut dan dimasukkan ke dalam beg tangan kerana ingin keluar.
Video yang dikongsikan oleh pengguna Twitter bernama @naffz_ menerusi video dari aplikasi TikTok bernama @madansuzali itu telah mencetuskan kemarahan netizen.
Dia pakai gelang pink lepastu cabut sebab nak keluar ! Tolong lah jangan bodoh pic.twitter.com/9BMykVSPBA
— Naffz (@naffz__) August 2, 2021
Menerusi video itu, gadis yang siap memakai topi keledar untuk keluar nekad menyimpan gelang pink tersebut sebelum ‘ditegur’ oleh rakannya.
Hanya bergurau
Pada hantaran yang sama, seorang pengguna bernama @Syazwanoo turut berkongsikan sebuah tangkap layar menceritakan kisah disebalik kejadian itu.
Tangkap layar melalui komen di aplikasi tiktok itu memaparkan gadis tersebut yang mengakui gelang itu tidak sengaja terbuka selain turut menyifatkan ia hanyalah sebuah gurauan.
Dikompaun RM5,000
Namun, tindakan gadis yang menanggalkan gelang pink itu membawa padah apabila dia dikompaun polis sebanyak RM5,000.
Menurut Harian Metro, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kompuan tersebut dikeluarkan selepas video remaja 17 tahun itu tular di media sosial.
Kejadian yang didapati berlaku di Kamunting, Taiping itu mendapati remaja tersebut menanggalkan gelang kuarintin tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Remaja terbabit menjalani ujian calitan pada Sabtu lalu dan keputusannya masih belum diperolehi.
Menurutnya, kompaun dikenakan kerana remaja itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Osman turut menasihati orang ramai agar mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan akan diambil tindakan sekiranya melanggar peraturan.
Kredit: Harian Metro I Twitter @Naffz_