27 daripada 5,589 calon berjaya raih Mumtaz, ini analisis penuh keputusan STAM 2020
Keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 baru saja diumumkan beberapa hari lalu dengan mencatatkan angka cemerlang lebih tinggi berbanding tahun terdahulu.
Hari ini, keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 pula diumumkan dan sekali lagi, kita boleh ‘tersenyum bangga’ dengan pencapaian pada kali ini.
Secara rasminya dilaporkan, seramai 27 daripada 5,589 calon yang menduduki peperiksaan STAM 2020 telah berjaya meraih pangkat Mumtaz, iaitu cemerlang dalam keseluruhan 10 mata pelajaran yang diambil.
Tahniah diucapkan buat semua calon Mumtaz.
Calon STAM 2020, generasi pertama format baharu
Mungkin ramai yang belum tahu, format instrumen peperiksaan STAM yang digunakan pada tahun 2020 adalah berdasarkan sukatan kurikulum yang baharu dan ianya sedikit berbeza berbanding tahun-tahun terdahulu.
Pembaharuan format melibatkan empat mata pelajaran, iaitu Arudh wal Qafiyah, dari Objektif Aneka Pilihan (OAP) & subjektif ke subjektif dan kerja kursus; Tafsir wal Ulumuhu, dari Objektif Pelbagai Bentuk (OPB) & subjektif ke OAP & subjektif; Tauhid wal Mantiq, dari OPB & subjektif ke OAP & subjektif dan Fiqh, dari OPB & subjektif ke OAP & subjektif.
Menurut Pengarah Peperiksaan di Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Pkharuddin Ghazali, keberhasilan 27 calon Mumtaz ini adalah merupakan penanda aras bagi format baharu yang digunakan buat tahun pertama.
“Jadi langkah-langkah untuk menukar format ini begitu teliti, langkah demi langkah dan kita guna pakai format ini sekurang-kurangnya tiga tahun.
“Sebab satu tahun data itu belum lagi stabil, ia baru jadi tanda aras tahun pertama, kemuduan ada tahun kedua, tahun ketiga, dan daripada data itu kita akan buat kajian, buat analisis,” katanya dalam Sidang Media Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM 2020 hari ini.
Selain itu, format pemeriksaan juga didapati ‘selangkah ke hadapan’ apabila sistem pemeriksaan skrip jawapan pula dijalankan secara atas talian melalui medium LP Score, seperti mana yang diamalkan dalam pemeriksaan SPM.
Sukacitanya dimaklumkan, indeks Gred Purata Nasional (GPN) bagi STAM 2020 juga mencatatkan nilai gred 3.04, di mana ia menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.
Perbandingan pencapaian menurut mata pelajaran
Selain itu, kita boleh memerhatikan perbezaan pencapaian berdasarkan pecahan mata pelajaran. Merujuk rajah di bawah ini, dapatlah kita simpulkan bahawa tiga mata pelajaran paling mudah untuk ‘skor’ ialah Balaghah, Insya’ wal Mutalaah dan Arudh wal Wafiyah.
Tarikh tertangguh, pandemik bukan penghalang
Tarikh peperiksaan yang kerap kali tertangguh bukanlah sesuatu yang dapat ‘dikawal’, segalanya adalah bergantung kepada situasi pandemik COVID-19 semasa. Sama seperti SPM, STAM pun turut sama mengalami penangguhan.
Bagaimanapun kata orang, setiap masalah yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya. Justeru, penangguhan itu ternyata memberi peluang kepada calon untuk lebih ‘bersiap-siaga’.
“Sebenarnya penangguhan tempoh peperiksaan yang sepatutnya berlaku pada tahun 2020 dilaksanakan sehingga selepas SPM selesai, ia sebenanrya memberi satu peluang kepada calon untuk bersedia lebih baik dalam menghadapi peperiksaan ini.
“Jadi sudah tentulah ada mata pelajaran tertentu dengan perubahan format terkini yang memberi kelebihan kepada mereka, ataupun ada yang agak menyukarkan pada mereka.
“Sebenarnya pada kami, apabila ubah format peperiksaan itu, pastinya ke arah yang lebih baik setelah melihat keadaan yang sebelum ini. Kalau kita tengok ada komponen-komponen yang kita berikan dalam instrumen itu memang menguji kebolehan calon,” tambah Pkharuddin.
Kesemua 10 mata pelajaran yang diambil adalah dalam Bahasa Arab, malah calon turut ‘berdepan’ dengan pelbagai komponen seperti kerja kursus. Mungkin nampak sukar, tapi inilah satu ‘latihan’ awal sebelum mereka merantau ke bumi Mesir kelak.
“Jadi InsyaAllah apa yang kita buat ini adalah untuk kuatkan calon kita daripada segi asas untuk mereka boleh cemerlang bila masuk ke Universiti Al-Azhar nanti,” tambahnya lagi.
Sumber: Sidang Media KPM