13 ‘mat rempit’ dibawa ke surau selepas ditahan, solat Subuh berjemaah & dengar tazkirah
Tidak hanya diambil tindakan dibawa ke balai tetapi 13 remaja yang ditahan di dalam Op Samseng Jalanan pada Ahad malam lalu turut dibawa ke surau untuk solat subuh dan mendengar tazkirah kemudiannya.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, remaja yang ditahan polis untuk proses dokumentasi di sekitar ibu negara itu berusia dalam lingkungan 14 hingga 19 tahun.
Selesai dokumentasi, mereka turut didedahkan dengan motivasi, solat subuh berjemaah dan dilanjutkan dengan tazkirah ringkas di Surau An Nazahah, JSPT KL.
Jelasnya, pendekatan keagamaan merupakan antara yang digunakan dalam menangani masalah sosial penunggang motosikal remaja di Kuala Lumpur ini.
Mohd Zamzuri turut menyarankan ibu bapa agar lebih memberi perhatian kepada anak-anak terutama remaja yang kerap menjadi pengguna jalan raya bagi mengelak sebarang aktiviti melanggar undang-undang lalu lintas.
Pendekatan keagamaan kepada remaja diharapkan dapat membantu jiwa dan minda mereka untuk membentuk akhlak yang lebih mulia.