Wanita dedah rahsia mampu beli 3 biji rumah dengan belanja makan hanya RM6.00 sehari

Wanita dedah rahsia mampu beli 3 biji rumah dengan belanja makan hanya RM6.00 sehari

 

Saki Tamogami, seorang ejen hartanah berusia 37 tahun dari Jepun, kini dikenali sebagai wanita paling jimat cermat di negaranya selepas berkongsi rahsia bagaimana cara beliau beli 3 rumah diusia muda.

Disiplinnya dalam berjimat cermat selama 15 tahun membolehkan beliau membeli tiga buah rumah, satu pencapaian luar biasa yang dibina sejak usia 19 tahun.

Menurut Oddicity Central, Tamogami mengamalkan prinsip “Jangan beli kalau tidak ada jualan murah!” dan ianya terbukti berkesan.

Beliau mula berjimat dengan tidak membeli pakaian baru, sebaliknya mengambik pakaian terpakai daripada keluarga dan rakan-rakan.

Selain itu, beliau juga menjaga dengan rapi pakaian yang dimilikinya agar tahan lebih lama.

Pada tahun 2019, Saki muncul dalam rancangan televisyen Jepun, Happy! Bomby Girl, di mana beliau mendedahkan kisah hidupnya kepada orang ramai.

Beliau mendedahkan bahawa dia hanya membelanjakan sebanyak 200 yen (RM6.40) sehari untuk makanan.

Dengan bajet sekecil itu, beliau hanya mampu beli bahan-bahan yang murah, memasak di rumah, dan kadang-kadang menikmati sepotong ikan salmon yang dibeli dengan harga diskaun.

Bukan itu sahaja, Saki juga berjimat dengan tidak menghabiskan wang untuk solekan atau gaya rambut.

Sebaliknya, beliau menjadikan rambutnya sebagai sumber pendapatan dengan menjualnya apabila sudah cukup panjang, yang menghasilkan kira-kira 3,100 yen (RM99), cukup untuk menampung bajet makanannya selama dua minggu.

Walaupun cara hidup ini mencabar, beliau mengaku telah terbiasa dan puas melihat wang di dalam akaun banknya semakin bertambah.

Pada usia 27 tahun, Saki berjaya menyimpan wang yang cukup dari gaji sebagai ejen hartanah untuk membeli sebuah rumah di Saitama, utara Tokyo, pada harga 10 juta yen (RM347,000).

Beliau kemudiannya menyewakan rumah tersebut dan wang sewaan itu digunakan untuk membayar pinjaman bank.

Dalam beberapa tahun berikutnya, beliau berjaya membeli rumah kedua pada harga 18 juta yen (RM625,000),  selepas itu beliau berjaya membeli rumah ketiganya pada harga 37 juta yen (RM1.28 juta).

Walaupun sudah mencapai matlamatnya, Saki tetap hidup dalam sederhana untuk terus menyimpan wang demi membantu kucing-kucing yang diselamatkan pula.

Beliau sudah membuka kafe kucing di tingkat bawah salah sebuah rumahnya dan merancang untuk melabur dalam hartanah lain pada masa depan.